Friday, September 12, 2008

MAILAH GEBANG-GEBANG SAT

Saya telah mengumpul hampir 2,000 kosa kata dialek utara [Kedah, Perlis dan Pulau Pinang]. Saya bercadang untuk di siarkan di dalam blog ini dan seterusnya setelah dimurnikan akan dibukukan. Berikut ialah contoh senarai kosa kata tersebut:



Perkataan dan Sebutan
[Ejaan baku]/Makna
Penjelasan /Contoh/Rujukan

A

abau
Kura-kura

acan
[acan] mengejek/mengusik

Toksah douk acan oghang tak cukoup sĕkupang tu. Nanti dia tĕngalong hangpa dengan tongkoi kayu baghu hangpa tau.
Bermaksud: Janganlah kamu semua mengejek orang yang kurang siuman itu. Nanti beliau lontar/baling tongkol kayu ke arah kamu semua baru kamu tahu.
Lihat KD halaman 4.

acaq
[acar] kumbahan kotor /enapcemar
Awat yang dok biaq ayaq acaq melimpah bawah dapoq ghumah hang tu? Gĕli gĕlĕman aku tengok.
Bermaksud: Kenapa biarkan air acar melimpah di bawah dapur rumah kamu? Geli geleman [rasa jijik] saya melihatnya.
Lihat KD halaman 4.

acar
[acar] sejenis makanan dari buah-buahan.
Contoh berikut diberikan untuk membezakan di antara perkataan acaq dan acar. Kesilapan selalu berlaku apabila menyebut perkataan acar [bermaksud sejenis makanan dari buah-buahan] sebagai ”acaq”.
Kĕghĕja buat acar buah sĕghah kat Maidin. Bab ni dia memang tera.
Bermaksud: Kerja membuat acar buah serahkan sahaja kepada Maidin. Di dalam bidang ini beliau memang pandai.

acagha
[acara]
Gaya sebutan.
Acagha sĕtĕghuihnya ialah pertandingan mencabout uban suami. Lĕpaih tu peraduan ratu cantik lĕmu bĕtina pulak.
Bermaksud: Acara seterusnya ialah pertandingan mencabut uban suami. Lepas itu ialah peraduan ratu cantik lembu betina]
aceh - atau ceih sahaja.

KDP halaman 1.
aci
[aci] kakak
Aci Nab pi makan kĕndughi kawin Mamu Kadiaq.
Bermaksud: Kak Nab (Zainab) menghadiri kenduri kahwin Pak Cik Kadir.]
aci
[aci] sah
Tak acilah pasai hangpa kecoh tak ikut pĕghatoghan.
Bermaksud: Tidak sah sebab kamu tipu dan tidak menurut peraturan.
acilut
[acilut] mainan menyembunyikan diri untuk dicari orang lain.

Main aci lut apa ni sampai malam buta tak bĕghĕnti lagi. Apa nak jadi budak-budak ni?
Bermaksud: Bermain sembunyi-sembunyi sampai larut malam tidak berhenti lagi. Apa hendak jadi dengan budak-budak ini.
Lihat KD halaman 5.
acum
[acum] Mengadu.
Jaga-jaga sikit douk mĕngata depan dia. Nanti dia mĕngacum dengan bos kalou baghu kita nak naik gĕlabah.
Bermaksud: Berjaga-jaga/berwaspadalah bila mengata sesuatu di hadapan beliau. Kelak beliau mengadu dengan bos risaulah kita nanti.
Lihat KD halaman 5.
ada bĕlaka atau ada bĕlaka- bĕlaka
[ada belaka] ada semuanya
Kĕndughi kawin Mat Pian geng dia ada bĕlaka-bĕlaka. Depa semua pakat pi.
Maksud: Majlis kenduri kahwin Mat Pian dihadiri oleh semua kawan-kawannya. Mereka semua telah bersetuju menghadirinya.
adalah
mempunyai
Ghĕta [harta] tu adalah sikit-sikit.
Bermaksud: Saya juga mempunyai sedikit harta.
adan
Adang pintu

adeih
[aduh]
Anak jantan apa nih? Kĕna pĕnampaq sikit poun bĕghadeih.
Bermaksud: Anak lelaki apa kamu ini? Ditampar sedikitpun sudah beraduh.
adoih/adoi
[aduh]
Adoih! sakit sunggoh ni! Bukan mĕlawak.
Bermaksud: Aduh! Sakit sunggoh! Bukan main-main.
afdal
[afdal]
Sebutannya sama. Bukan afdai
agaih
[agas] sejenis binatang kecil yang berterbangan
Banyak sangat agaih douk hughong muka sampai naik lĕmaih
[terlalu banyak agas menghurung di muka sehingga rasa lemas.]
agam
[agam]
Dah bĕsaq agam dok tĕghiak lagi. Tak malu kat oghang yang douk tengok ka?
Bermaksud: Sudah besar agampun menangis lagi. Tidak malukah dengan orang yang melihat?
agaq-agaq
[agar-agar]
Gaya sebutan.
Agaq-agaq tu manih mĕlĕcaih. Awat depa yang buat tu ada kelang gula ka?
Bermaksud: Agar-agar itu terlalu manis. Mereka yang buat itu mempunyai kilang gulakah?
agha
[ara]
Pokok agha tu kĕghaih sikit. Jaga-jaga dok bawah dia takut bĕnda tu tumpang balik.
Bermaksud: Pohon ara itu ”keras” sedikit. Jaga-jaga duduk di bawahnya kerana takut-takut ”benda” itu ”menumpang” bila pulang rumah nanti.
aghah
[arah]
Depa pi aghah timoq pasai tu depa sĕsat.
Bermaksud: Mereka pergi ke arah timur sebab itulah mereka sesat.
aghah
[arah]
Pandai douk aghah-aghah oghang. Dia sĕndighi poun douk mĕghangkak lagi.
Bermaksud: Jangan pandai mengarah-arah orang lain. Dia sendiripun masih merangkak lagi.
aghai
[aral]
Kalau tak dak aghai mĕlintang kami pilah kĕndughi khatan anak Pak Mid.
Bermaksud: Jikalau tiada aral, kami akan pergi/hadir kenduri bersunatnya anak Pak Hamid.
aghaih
[aras] tingkat
Dia douk aghaih ataih sĕkali.
Bermaksud: Beliau tinggal di aras [tingkat] atas sekali.
aghaih
[aras] sekadar
Aghaih pakai kapcai tu tok sah douk bĕlagaklah.
Bermaksud: Jika sekadar menunggang motosikal jenis kecil itu tak usahlah berlagak-lagak.
aghak
[arak] membawa
Depa aghak kami satu kampung sĕbĕlum kami kĕna khatan
Bermaksud: Mereka membawa kami mengelilingi seluruh kampung sebelum kami disunatkan.
aghak
[arak] minimun keras/alkohol
Zaman dulu-dulu kala pĕgawai yang tak tĕlan aghak bila ada majleih kegha tak dak kĕlaihlah.
Bermaksud: Pada suatu masa dahulu pegawai yang tidak minum arak di dalam sesuatu majlis dianggap tidak ada klas [class].
agham
[aram] berdendam
Dia douk agham tak habeih lagi kes dia kĕna pĕdaya.
Bermaksud: Beliau masih lagi aram [berdendam] berhubung dengan kes beliau diperdayakan.
aghang
[arang]
Dulu-dulu sĕrika pakai aghang. Jĕnouh bĕpĕlouh nak tenyeh sĕluaq bouh kanji.
Suatu masa dahulu seterika gunakan arang. Berpeluh juga bila menggosok seluar yang dikanjikan.
aghuih
[arus]
Tak sempat nak selamat dia pasai aghuih deghaih sangat.
Bermaksud: Tidak sempat selamatkan beliau kerana arus mengalir terlalu deras.
ah
[lah]
Sebutan “ah” dilembutkan hampir tidak kedengaran selepas sesuatu perkataan. Lebih kepada penyedap atau pelembut kata. Tidak seberat “lah” yang disebut dengan jelas selepas sesuatu perkataan untuk menekankan lagi Bermaksud perkataan tersebut.
ai se men
[I say man] “alamak”
Ai se men! lagu ni teghaplah aku.
Bermaksud: Alamak! Jika macam ini, kalahlah/rugilah aku.
aih
[lah]
Dak aih. Sapa poun tak kata apa.
Bermaksud: Tidaklah. Tiada sesiapapun yang mengata-ngata [tentang sesuatu hal]
aih
[ais]
Jangan douk amai makan aih sangat. Tak baguih
Bermaksud: Jangan amalkan sangat minum air ais. Tidak bagus.
aih kacang
[ais kacang]
Air batu campur.
aih kĕpai
[ais kepal]
Ais yang disagat dan dikepal-kepalkan hingga menjadi macam bola dan setelah itu disirami pula dengan air gula beraneka warna.
aih kĕtoi
[ais ketul]
Dulu-dulu kala mai musim posa kami juai aih ketoi.
Bermaksud: Pada zaman dahulu bila bermulanya bulan puasa kami menjual ais ketul.
aik

KDP halaman 1
aina-ainun
Zaman dahulu

aiskrim
[aiskrim]
Sebutannya sama iaitu aiskrim juga bukan aihkrim.
aja/ja/saja
sahaja
Kami pi sat ja/saja. Toksah douk tunggu kami balik lah.
Bermaksud: Kami pergi sekejap sahaja. Tidak perlulah menunggu kami pulang.
ajai
[ajal]
Dah sampai ajai nak buat lagu mana. Sabaq sajalah
Bermaksud: Sudah sampai ajal, apa yang dapat kita buat. Bersabarlah.
ajaq
[ajar]
Jangan douk kata depa kughang ajaq. Kita tu lebih kughang jugak.
Bermaksud: Jangan mengata/menuduh mereka itu kurang ajar kerana kamu juga apa kurangnya.
ajeib
[ajaib]
Ajeib betoi. Tat sat ni dia douk ada tang nilah.
Bermaksud: Betul-betul ajaib. Baru sebentar beliau berada di sini.
ajouk
ajuk
Dah tau Pak Mud tu gagap yang hangpa douk ajouk dia bokpa [buat apa]? Hangpa tak dak akai [akal] ka?
Bermaksud: Sudah tahu Pak Mud gagap kenapa kamu ajuk [cara percakapan] beliau? Kamu tidak berakal kah?
akai
[akal]
Akai banyak budak ni. Toksah douk layan dia sangat.
Bermaksud: Budak ini banyak akal. Janganlah [tak usahlah] layannya sangat.
akaih
[akas] Hidup kembali
Lihat KD halaman 23
akaq
[akar]
Akaq suntoun tu pait bedengung.
Bermaksud: Akar suntun itu pahit sungguh.
akhiaq
[akhir]
Akiaq-akhiaq nih dia dah jadi oghang dah!
Bermaksud: Di saat-saat akhir ini beliau sudah menjadi manusia baik.
akhirat
[akhirat]
Akhirat masih disebut akhirat bukan akhiaqghat
aku
[aku]
Aku merupakan gantinama diri pertama yang sensitif jika disalahgunakan di Utara Malaysia. Begitu juga dengan gantinama hang atau hangpa.
Perlu tahu ketika dan konteks ia digunakan. Bunyinya kasar jika berbahasakan diri sendiri “aku” kepada orang Kedah/Perlis/Pulau Pinang jika belum betul-betul mesra dengan beliau.
Memadai dengan berbahasakan diri dengan “saya” sahaja. Kadangkala boleh juga guna gantinama “kami” atau “kita”. Itupun kurang manis.
Kepada orang yang kita berkomunikasi pula elok digunakan nama asal beliau [jika tahu] atau encik atau cik atau tuan dan sebagainya. Kurang manis jika mengunakan gantinama “awak” atau “kamu” . Jangan guna “hang” atau “hangpa” jika belum betul-betul mesra dengan orang yang kita berbual..
Aku dan hang atau hangpa selalu digunakan di kalangan kenalan atau ahli keluarga yang sudah terlalu mesra.
Aku dan hang atau hangpa selalu juga digunakan ketika bertengkar atau bergaduh.

No comments: