Saturday, May 3, 2008

Kota Raya London - Sepintas lalu

Saya tuliskan artikel ini untuk para pembaca yang mungkin ingin mengetahui sepintas lalu tentang Kota Raya London yang bersejarah, penuh dengan daya tarikan pelancongan dan yang menjadi nadi ekonomi dunia. Sebuah Kota Raya penuh misteri dan merupakan wadah penerokaan ilmu. Walaupun saya bukanlah seorang pakar tentang subjek ini, namun pengalaman bermastautin di United Kingdom secara kumulatifnya selama lebih kurang 9 tahun sebagai pelajar dan Diplomat (bertaraf Menteri Penasihat Bahagian Pendidikan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia), telah membolehkan saya menukilkan beberapa fakta tertentu dan mencoretkan pendapat tentang Kota Raya ini.

Terlalu banyak hendak dibicarakan tentang kota London. Namun kota kosmopolitan ini bukanlah asing bagi kebanyakan warga di tanah air. Mungkin ramai di antara kita yang lebih tahu tentang London daripada beberapa warga London sendiri. Mungkin juga rakyat Malaysia lebih terdedah dengan maklumat atau berita dunia daripada orang-orang di London kerana rata-rata media massa di sini lebih tertumpu kepada berita-berita tempatan. Lantaran itu, pengetahuan kebanyakan warga London tentang berita-berita luar agak terhad. Masih ada yang tidak tahu di mana Malaysia berada. Malah ada yang tahu sedikit, menganggap Malaysia masih di selubungi hutan belantara dan yang unik sedikit pun ialah menara berkembar Petronas dan litar F1 Sepang.

Makulmat tentang London boleh didapati dengan mudah, terutamanya melalui internet. Beratus-ratus laman web dengan berjuta-juta maklumat tentangnya tersimpan di dalam jentera-jentera pencarian. Dari fakta fizikal, persekitaran, komersil, sosio-politik, pendidikan dan sebagainya sehinggalah berita-berita sensasi hiburan siap sedia untuk dicerapi melaui sistem maklumat digital ini. Terlalu banyak maklumat tentang kota masyhur ini boleh didapati hingga sehari suntuk pun belum mencukupi untuk melayari beberapa laman web terkemuka sambil menelan pelbagai maklumat tentangnya.

London sepintas lalu
Untuk kemudahan pembaca, dinukilkan sepintas lalu tentang beberapa fakta menarik kota raya penuh bersejarah ini. London mempunyai di sekitar 7.2 juta penduduk pelbagai bangsa dan kumpulan etnik. Satu dari empat penduduknya adalah bukan keterunan Anglo-Saxon. Tegasnya hampir 2 juta warga kota London berasal dari pelbagai negara seluruh dunia. Rakyat Malaysia (termasuk para pelajar, pekerja sementara dan pemastautin tetap) yang tinggal di sekitar London sahaja dianggarkan berjumlah lebih kurang 10,000 orang.
Di beberapa tempat di kota ini, seperti Southall contohnya, bagi pelawat yang baru tiba, tentunya beliau akan tertanya-tanya sama ada beliau berada di London atau di New Delhi. Berkemundang radio tempatan, “Sunshine”, yang disiarkan di dalam bahasa Hindi atau Urdu di sekitar kawasan tersebut. Mungkin kawasan di sekitar Masjid India di KL boleh dijadikan contoh yang hampir sama dengan Southall. Oleh itu tidak hairanlah jika lebih kurang 300 bahasa dituturkan di kota penuh warna warni ini. Namun Bahasa Inggeris tetap menjadi bahasa tuturan utama dan rasmi.
97% daripada 189 negara yang menganggotai Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai kedutaan atau suruhanjaya tinggi di kota ini. Bererti hampir 15,000 diplomat asing serta ahli-ahli keluarga masing-masing bermastautin dan bekerja di ibu negara Britain ini. Malaysia sendiri diwakili oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi dan hampir 30 diplomat. Justeru, Kota London adalah kota terkemuka yang menyediakan saluran diplomatik dan wadah politik antarabangsa. Ia juga menyediakan tempat perlindungan kepada suaka-suaka politik seluruh dunia.
Kota Raya London adalah juga pusat komersil terkemuka di dunia. Terdapat 486 bank dari negara-negara asing yang menyediakan pekerjaan kepada lebih daripada 200,000 orang. Malaysia sendiri mempunyai 3 bank iaitu Bank Negara, Maybank dan Bumiputra-Commerce yang menyediakan perkhidmatan tertentu. Terdapat 20 buah syarikat insurans terbesar di dunia dan 30% daripada syarikat-syarikat multi-nasional terkemuka di dunia yang berpangkalan di sini. Dianggarkan 65% daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan oleh Fortune 500 terdapat di kota raya ini. Dari sumber yang boleh dipercayai, rakyat Malaysia kini menguasai atau memiliki 30 syarikat-syarikat terkemuka di sini.
Perlu dinyatakan bahawa London juga merupakan pintu gerbang untuk aktiviti-aktiviti komersil ke negara-negara Kesatuan Eropah atau European Union yang mempunyai penduduk di sekitar 374 juta orang.

Bursa saham London adalah di antara yang terbesar di dunia. Lebih 500 syarikat terkemuka dari 30 negara disenaraikan di bursa ini.
Sebagai kota raya ilmu, Greater London mempunyai 38 universiti dan kolej terkemuka di samping hampir 300 pusat-pusat pengajaran dan pembelajaran yang menyediakan tempat kepada sekitar 350,000 pelajar tempatan dan asing. Pelajar Malaysia (yang ditaja dan persendirian) yang menuntut di sekitar London sahaja dianggarkan berjumlah 3,000 orang.
Greater London meliputi kawasan seluas 480,000 ekar tanah. Tidak semuanya keluasan tanah ini dibangunkan dengan binaan-binaan dan infrastruktur. 39% dari keluasan Greater London di pelihara sebagai kawasan lapang dan kawasan hijau. Di antara kawasan-kawasan tersebut yang menarik ialah taman-taman yang luas seperti the Hyde Park/Kensington Garden dan Regent Park. Kawasan lapang yang menghijau dan luas ini adalah wadah penafasan kota raya ini. Tanpa kawasan ini tentulah London tidak dapat terlepas daripada masalah pencemaran udara yang kronik. Pencemaran udara yang dihasilkan oleh warga London setiap tahun meliputi gas-gas seperti karbon dioksida (60 juta ton), sulfur dioksida (400,000 ton) dan nitrogen dioksida (280,000 ton).
Menyentuh tentang pencemaran, kota raya London terpaksa memproses lebih 23 juta ton sampah sarap dan enapcemar setiap tahun hasil daripada penggunaan di sekitar 1 ribu juta ton bahan mentah oleh warga dan industrinya.
Bagi mereka yang bersemangat keusahawanan di tanah air tentulah dapat membayangkan betapa besarnya peluang-peluang mengeksport bahan-bahan kegunaan seharian seperti makanan yang diproses atau mentah untuk menampung keperluan warga kota ini. Secara mudah harga pasaran sesuatu barang di London hampir 6 kali ganda harganya di Kuala Lumpur. Di utara London, iatu di Edgware terdapat sebuah pasar raya yang dikenali sebagai “Oriental City” yang memasarkan sebahagian besar pelbagai makanan dari Malaysia. Pasar raya ini menjadi tumpuan utama orang-orang Malaysia dan negara-negara Asia lain yang bermastautin di sini. Selain itu, makanan halal mempunyai permintaan yang kian meningkat di kalangan hampir 1.5 juta penduduk beragama Islam di sekitar kota ini.
Industri pelancongan merupakan industri kedua terpenting di London. Sekitar purata 28 juta pelancong (40% daripadanya pelancong asing) membanjiri kota ini setap tahun. Seramai 225,000 penduduk London terlibat di dalam industri ini yang menyumbangkan pendapatan hampir RM 50 ribu juta setahun. Terlalu banyak tempat –tempat serta aktiviti-aktiviti menarik terdapat di sini. Oxford Street yang terkenal itu, contohnya sentiasa dibanjiri pelancong sepanjang tahun. Begitu juga dengan gedung-gedung terkenal seperti Harrods, Selfridges, Marks and Spencer dan Woolworths yang sentiasa tidak putus dengan orang ramai.

Perkembangan Fizikal Kota Raya London
London berkembang secara berhati-hati daripada segi pembinaan bangunan dan infrastruktur. Binaan-binaan lama masih dikekalkan dan di pelihara dengan baik. Peraturan memulihara bangunan dan binaan-binaan lain adalah rigid sekali. Kebanyakan bangunan yang terdapat di kota ini rata-rata bercirikan seni bina “Victorian” yang berusia melebihi 200 tahun. Boleh dikatakan semua bangunan sedemikian telah diklasifikasikan sebagai bahan bersejarah. Oleh itu kerja-kerja membaikpulih bangunan seperti ini memerlukan pengekalan bentuk serta ukiran-ukiran sedia ada dan ini juga memerlukan pekerja-pekerja berkemahiran tinggi.
Pun demikian, pelabur-pelabur asing masih ramai lagi yang berlumba-lumba ingin membeli bangunan-bangunan seperti ini, terutamanya di Central London. Mereka tahu bahawa, walaupun keadaan ekonomi London agak lembab kini, nilai hartanah tersebut masih berpotensi untuk meningkat pada kadar 7 hingga 10 perarus setahun. Contohnya, sebuah hotel 3 bintang super dengan 104 bilik dan bercirikan seni bina Victorian di Bayswater di beli oleh Kerajaan Malaysia untuk dijadikan Malaysia Hall yang baru kini mencecah nilai RM 85 juta sedangkan harga belian 8 bulan lalu hanyalah di sekitar RM 70 juta sahaja.
Walaupun London berkembang secara berhati-hati, namun terdapat juga projek-projek binaan “mega” yang telah, sedang dan akan dibangunkan di sekitar kawasannya. Contohnya, projek pusat perdangan dan kediaman Docklands yang menelan belanja beribu-ribu juta ringgit hampir siap seratus peratus. Projek Ex-Cel fasa 1 di Royal Victoria Docks yang menelan belanja RM 1.3 ribu juta telah siap dan beroperasi sejak November 2000. Projek ini mengandungi pusat konferen untuk 1,150 pengguna, 66 bilik mesyuarat, 2 ruang besar pameran, sebuah hotel 5 bintang dengan 1,500 bilik dan 850 apartment.
Projek-projek yang sedang dibangunkan termasuklah, Wembley Football stadium. Chelsea World of Sports, pemuliharaan Tower Bridge dan Royal Albert Hall, serta pembangunan semula Paddington Basin fasa 1.
Di antara projek-projek besar yang sedang dilaksanakan di London mulai tahun 2004 ialaht:
· Pembesaran the Natural History Museum beranggaran RM 700 juta
· Ex-Cel fasa 2 beranggaran RM 1.2 bilion
· Paddington Basin fasa 2 beranggaran RM 1.8 bilion
· White City Regeneration beranggaran RM 8 bilion
· Terminal 5 Heathrow airport beranggaran RM 1.5 bilion
· Battersea Power Station (dijadikan kompleks perniagaan dan hiburan) beranggaran RM 3.5 bilion
· Selfridges Redevelopment, Oxford Street beranggaran RM 1.4 bilion
· Pembinaan dan Perluasan muzium-muzium Docklands, Victoria & Albert dan Islington Music Centre dianggarkan berjumlah RM850 juta.

Projek-projek kecil yang akan dilaksanakan di sekitar London seperti pembinaan hotel, kompleks sukan, pemuliharaan bangunan-bangunan lama, perumahan dan stesen-stesen keretapi/bas secara kumulatif dianggarkan mencecah angka RM 12 bilion
Projek-projek infrastruktur seperti memperlebarkan jalan, memperbaiki system pembentungan, membina terowong dan rel keretapi bawah tanah dan sebagainya merupakan projek-projek berterusan dan akan menelan belanja beratus-ratus juta ringgit.
Jika dijumlahkan anggaran nilai projek-projek tersebut, tidak mustahil ianya akan mencecah RM 30 bilion yang akan dibelanjakan di dalam jangkawaktu 5 tahun mulai tahun 2004.
Ternyata peluang bagi kontraktor-kontraktor Malaysia terbuka amat luas sekali untuk mengambil bahagian di dalam projek-projek ini. Cara yang terbaik ialah dengan menubuhkan syarikat-syarikat binaan kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan untuk menawarkan khidmat di dalam konteks ini.
Akhir kata
Kota Raya London penuh dengan tarikan, misteri dan sejarah. Hampir semua bangsa di dunia ini mempunyai “wakil” di kota kosmopolitan ini. Kebudayaan di sini adalah rencam. Namun kebebasan beragama dipelihara oleh pemerintah. Di sekitar London sahaja dianggarkan terdapat 20 masjid untuk membolehkan umat Islam beribadat. Makanan halal dan Asia senang didapati di merata-rata tempat.
Jika di Southall terdapat ramai komuniti keturunan India dan Pakistan, Edgware Street, di tengah-tengah kota ini di banjiri oleh komuniti Arab. Di kawasan utara terutamanya di sekitar Finchley, Hendon dan Golders Green dimonopoli oleh komuniti Yahudi. Manakala di East London seperti Barking dan South London seperti Brixton dan Croydon di banjiri oleh komuniti keturunan Afrika.
7.2 juta penduduk London terpaksa bekerja keras untuk hidup di kota yang kosnya di antara tertinggi di dunia. Namun, jika pandai mencari peluang dan sanggup bekerja kuat, sesorang itu akan dapat menikmati hasil lumayan titik peluhnya. Namun jika malas, jadilah beliau seorang yang merempat atau “homeless” yang terpaksa tidur di tepi-tepi jalan dan mengharapkan belas kasihan orang ramai untuk meneruskan sisa-sisa hidup.
Pembangunan London, walaupun dilaksanakan berhati-hati, namun berkembang dengan pesat. Peluang terbuka luas kepada para kontraktor Malaysia yang berani dan sanggup menanggung risiko untuk mengambil bahagian di dalam perlaksanaan projek-projek yang dianggar mencecah RM 30 bilion. Mungkin agensi seperti CIDB Malaysia dan Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Luar Negeri dapat membolehcarakan kontraktor-kontraktor Malaysia untuk bersaing dan memperolehi kerja di dalam perlaksanaan projek-projek tersebut.
London, sebagai gerbang ke negara-negara Kesatuan Eropah memberi peluang luas kepada pengeksport-pengeksport pelbagai barangan buatan Malaysia untuk menerokainya.
Pepatah Inggeris pernah berkata:
“Who is tired of London is tired of life” dan “London is where Kings are made”
Jika direnung, terasa benar sekali erti pepatah-pepatah tersebut. Kita harus fahami dan mengenali bangsa Anglo-Saxon (yang menjadi rakyat majoriti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand terutamanya) demi memahami fenomena serta order baru dunia. Jadi seharusnyalah bagi mereka yang ingin berbuat demikian datang ke London dan United Kingdom keseluruhannya untuk mendalami tentang budaya dan pemikiran bangsa yang telah menakluki hampir 30% dunia suatu masa dulu, termasuk Malaysia.

No comments: