Monday, February 11, 2008

TENAGA HIJAU LADANG ANGIN

Setiausaha Negara bagi perdagangan dan perindustrian Britain suatu ketika dulu mengumumkan rancangan jangka panjang penghasilan tenaga elektrik melalui kitaran turbin-turbin angin di “ladang-ladang angin” atau “ wind farms” yang akan dimajukan di kawasan-kawasan pesisiran pantai yang telah dikenalpasti. Rancangan untuk menghasilkan “tenaga hijau” atau “tenaga bersih” tersebut bertujuan membekalkan hampir 6,000 megawatt tenaga elektrik kepada lebih 4 juta buah rumah yang dapat memanfaatkan kira-kira 10 juta penduduk menjelang tahun 2020..

Rancangan ini dijangka dapat menyediakan secara berperingkat-peringkat peluang pekerjaan kepada hampir 20,000 orang di dalam jangkawaktu perlaksanaannya. Peluang pekerjaan ini merangkumi kerja-kerja perundingan kejuruteraan, binaan, pengeluaran turbin, kipas-kipas besar dan sebagainya. Melalui rancangan ini Britain juga berhasrat menghasilkan pakar-pakar terkemuka di dalam bidang teknologi turbin angin pesisiran pantai yang akan menawarkan khidmat rundingan kepada negara-negara lain kelak.

Rancangan tenaga hijau melalui ladang-ladang angin ini secara keseluruhannya akan membabitkan pelaburan sejumlah RM 36 bilion (GBP 6 bilion). Kerajaan British yakin bahawa menjelang tahun 2020 ladang-ladang angin ini berupaya membekalkan hampir 20% daripada keperluan tenaga elektrik domestik.

Tujuan utama rancangan besar-besaran ini ialah untuk mengurangkan kegunaan bahan-bahan yang kian lupus seperti arang batu, minyak dan gas serta bahan berbahaya seperti nuklear. Di samping itu, Britain berusaha mengurangkan kadar pencemaran udara melalui pembakaran bahan-bahan tersebut. Dianggarkan penghasilan sampingan karbon dioksida melalui pembakaran ini akan berkurangan sehingga 15 juta ton setahun menjelang 2010. Ini adalah selaras dengan Protokol Kyoto, iaitu persetujuan antarabangsa untuk mengurangkan pencemaran udara dan peningkatan bahang global atau “global warming”. Protokol ini memerlukan negara-negara maju terutamanya mengurangkan “greenhouse gases” atau gas pencemaran hasil pembakaran bahan-bahan tertentu yang kian melupuskan lapisan ozon mengakibatkan kenaikan suhu dunia serta peningkatan sinaran “ultraviolet”.

Ladang-ladang angin yang dirancangkan di Britain ini akan mengandungi di sekitar 2,500 turbin angin dan akan dibina di atas dasar laut di beberapa kawasan yang telah dikenalpasti di sepanjang pesisiran pantai negara tersebut. Kawasan-kawasan yang telah dikaji dan didapati sesuai ialah Muara Sungai Thames, Greater Wash (menghadapi North Sea) dan pesisiran pantai Lautan Irish di antara Ryl Flats (di utara Wales) dan Solway Firth (di Cumbria).

Setiap kawasan dijangka mempunyai beberapa ladang angin dengan jumlah turbin angin tidak melebihi 300. Setiap turbin angin yang menaranya setinggi 80 meter itu pula akan dilengkapi dengan bilah-bilah kipas, setiap satunya berukuran 60 meter panjang. Bilah-bilah kipas tersebut direkabentuk dan dicantum seperti bentuk kipas-kipas kapal terbang. Tiupan angin dengan halaju tertentu akan memutarkan kipas dan sekaligus turbin di belakangnya untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Turbin-turbin angin tersebut akan dibina di atas menara di dasar laut yang dalamnya tidak melebihi 30 meter. Jarak turbin-turbin ini dari pantai dipastikan tidak kurang dari 4.8 kilometer tetapi tidak melebihi 13 kilometer. Jarak di antara sesuatu turbin angin dengan yang lainnya ialah lebihkurang 500 meter.

Rancangan tenaga hijau ini akan dilaksanakan berperingkat-peringkat. Peringkat pertama melibatkan pembangunan sejumlah 17 ladang angin mengandungi di dalam lingkungan 300 turbin. Peringkat ke dua pula membabitkan 82 lagi ladang-ladang angin sedemikian yang akan mengandungi 1,000 turbin dan peringkat seterusnya dianggarkan sejumlah 1,200 lagi turbin angin yang akan dibina di dalam kemungkinan 90 lagi ladang angin pesisiran pantai. Dijangkakan kesemua 2,500 turbin angin ini kelak dapat menghasilkan sejumlah 6,000 megawatt tenaga elektrik seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Hingga kini sejumlah 8 permohonan untuk memajukan ladang-ladang angin tersebut telah diluluskan oleh Jabatan Perdagangan dan Perindustrian atau “Department of Trade and Industry (DTI)” serta Crown Estates, pemegang hakmilik dasar laut pesisiran pantai seluruh Britain. Dua daripadanya sedang dimajukan iaitu di North Hoyle, pesisiran pantai Wales Utara dan di Burbo, pesisiran pantai Merseyside.

Ladang angin North Hoyle yang sedang dimajukan oleh syarikat National Wind Power akan mempunyai 30 turbin angin yang dapat menghasilkan sejumlah 60 megawatts tenaga elektrik. Projek ini menelan belanja sebanyak lebih kurang RM 430 juta. Ia dijangka beroperasi mulai pertengahan tahun depan.

Manakala ladang angin Burbo Banks (terletak di antara Crosby dan New Brighton) pula sedang dimajukan oleh syarikat Seascape Energy. Ia mengandungi 30 turbin angin dan akan menelan belanja sejumlah RM 600 juta.

Dua lagi ladang angin pesisiran pantai yang akan dimajukan mulai tahun depan ialah Rhyl Flats, utara Wales dan Scorby Sands, di Great Yarmouth (kawasan Greater Wash). Syarikat yang akan melaksanakannya ialah PowerGen. Selain daripada lokasi-lokasi tersebut, kelulusan perancangan untuk memajukan sepuluh lagi ladang angin telah dipohon. Lokasi-lokasinya ialah di Kentish Flats dan Gunfleet Sand (kawsan Muara Thames); Cromer, Lynn dan Inner Dowsing (kawasan Greater Wash); Solway Firth, Barrow dan Shell Flat (kawasan menghadapi Lautan Irish); Teeside (North Sea); Scarweather Sands (selatan Wales).

Teknologi turbin angin bukanlah sesuatu yang baru dan canggih. Teknologi ini telah dimajukan di Denmark beberapa tahun lalu. Terdapat kira-kira 6,500 loji sederhana penjana tenaga elektrik hasil tiupan angin yang telah memanfaatkan hampir 500,000 penduduk negara tersebut. Di Negara Jerman, beribu-ribu turbin angin sedang dan dirancang dibina di sekitar pesisiran pantai Baltic (menghadapi North Sea). Apabila siap di dalam tahun 2030 kelak turbin-turbin angin ini akan dapat menghasilkan sehingga 25 gigawatt elektrik hampir sama kuantiti pengeluarannya jika dibandingkan dengan yang dapat dihasilkan daripada 20 stesyen tenaga nuklear.

Di Republic of Ireland pula, sebuah ladang angin daratan sedang dimajukan di utara Mayo oleh Hibernian Wind Power. Sejumlah 200 turbin angin akan beroperasi menjelang tahun 2005 yang akan menghasilkan 300 megawatt elektrik menjadikan 7% dari keperluan tenaga elektrik bagi negara tersebut.

Di Kanada, ladang angin Tasik McBride berdekatan Crownsnest Pass, selatan Alberta sedang dimajukan. Ia akan mempunyai 144 turbin angin yang akan dapat menghasilkan 80 megawatt elektrik. Amerika Syarikat juga sedang mengkaji dengan serius untuk memajukan ladang-ladang angin seperti ini untuk menghasilkan elektrik bagi menampung keperluan tenaga tersebut di seluruh negara itu.

India juga tidak ketinggalan di dalam memajukan teknologi turbin angin penjana elektrik ini. Beberapa turbin angin berskala sederhana sedang dibina di atas bukit Trimula, Tirupati, Gujarat oleh sebuah syarikat, iaitu Suzlon.

Walaupun turbin-turbin angin yang besar itu berpotensi menampung keperluan tenaga elektrik dan mengurangkan kadar pencemaran udara, namun beberapa pihak telah menyuarakan kebimbangan tentang perlaksanaannya. Daripada segi kos pengeluaran, dikhuatiri kadar yang akan dikenakan kepada pengguna akan jauh lebih tinggi jika dibandingkan ditanggung sekarang. Ini adalah berdasarkan kepada pelaburan besar yang akan dikaut balik oleh pihak-pihak pemaju melalui jualan tenaga elektrik kepada pengguna kelak.

Selain daripada itu, Terdapat ramai aktivis persekitaran yang khuatir tentang impak visual beribu-ribu menara turbin angin ke atas landskap pesisiran pantai serta kesan kitaran kipas-kipas besar terhadap haiwan seperti burung dan hidupan-hidupan laut.

Kebimbangan ditimbulkan juga oleh pihak-pihak tertentu tentang kesan teknologi ini yang akan menganggui gelombang radar, signal radio, televisyen dan sistem telefon bimbit, terutamanya di kawasan-kawasan yang terbabit dengan program tenaga hijau ini.

Pihak British Institute of Civil Engineers berpendapat bahawa kekerapan tiupan angin pada tahap halaju sesuai untuk memutarkan turbin angin ini secara berkesan sukar diramalkan dan secara kasarnya tiupan ini terhad kepada 30% daripada sepanjang jangkawaktu sesuatu hari sahaja. Ini mungkin akan menjejaskan kuantiti penghasilan tenaga elektrik yang ditargetkan.

Namun begitu kekakangan-kekangan tersebut bukanlah merupakan faktor penghalang kepada usaha untuk memajukan rancangan dan meningkatkan usaha penyelidikan tenaga hijau melalui tiupan angin ini.

Begitu juga dengan usaha-usaha menerokai kedayaupayaan mengeksploitasi sumber-sumber tenaga semulajadi seperti hasil sinaran mata hari dan gelombang laut serta meningkatkan lagi teknologi hidro untuk menghasilkan tenaga elektrik. Ternyata kebergantungan kepada sumber-sumber tenaga penjana elektrik sedia ada (yang menyumbang kepada pencemaran persekitaran) perlu dikurangkan kerana lambat laun sumber-sumber tersebut akan pupus. Juga gas sampingan akibat kegunaan sumber-sumber ini, seperti karbon dioksida telah terbukti turut menyumbang kepada penipisan lapisan ozon yang melindungi hidupan-hidupan daripada sinaran berbahaya ultraviolet mata hari.

Di dalam konteks ini, Malaysia perlu memikirkan secara serius tentang sumber-sumber alternatif yang semula jadi untuk menghasilkan tenaga elektrik di dalam merencanakan kegunaan tenaga demi masa depan pembangunan negara. Kajian terpeinci secara holistik, terutamanya daripada segi keberkesanan teknologi, kos, impak terhadap persekitaran dan hidupan-hidupan serta penerimaan pengguna hendaklah dimulai secepat mungkin.

Jika hasil kajian memberikan pertanda usaha sedemikian sesuai dan berdaya maju kelak, maka beberapa rancangan haruslah diatur. Contohnya penghasilan tenaga elektrik melalui tenaga angin di kawasan-kawasan strategik tertentu, seperti di pulau-pulau serta pesisiran pantai perlu dilaksanakan bagi menampung keperluan tenaga tersebut di masa depan.

Penerokaan teknologi tenaga hijau seperti ini juga akan dapat melatih pakar-pakar tempatan yang kelak akan dapat menyumbangkan kepakaran mereka bukan sekadar di dalam negara bahkan secara global. Mungkin juga kita akan dapat menandingi negara-negara tertentu di dalam pengeluaran peralatan-peralatan perlu teknologi ini seperti turbin, kipas angin dan sebagainya.

Rencana ini ditulis berdasarkan maklumat-maklumat yang didapati oleh penulis melalui media massa, terutamanya akhbar the Times keluaran 15 Julai 2003 (halaman 7) serta Construction News (17 Julai 2003). Pembaca digalakkan melayari laman-laman web berikut untuk mendapat maklumat lanjut:
www.bwea.com (British Wind Energy Association)
www.dti.gov.uk/energy/renewables (Department of Trade and Industry)
www.offshorewindfarms.co.uk

No comments: